Dharma naik pangkat bantu Revington

Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat dua jurulatih terbaik, Muhammad Dharma Raj Abdullah serta Paul Revington bergabung akhirnya menjadi kenyataan selepas bekas pengendali skuad remaja itu dilantik penolong jurulatih skuad senior negara.

Selain Dharma, turut membarisi barisan kejurulatihan skuad senior adalah bekas penolong jurulatih skuad remaja, Nor Azlan Bakar dan K Gobinathan yang sama-sama membantu Dharma meraih keputusan membanggakan dengan membawa skuad remaja menamatkan saingan di tempat keempat Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, Disember lalu.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj yang turut cemerlang ketika bekerjasama dengan Revington bagi memastikan skuad senior menamatkan kemarau layak ke Piala Dunia, juga akan kekal selaku penolong jurulatih bersama-sama Dharma, Nor Azlan serta Gobinathan.

Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu bermakna skuad senior akan dibarisi empat penolong jurulatih yang akan diketuai Revington untuk mengharungi jadual cukup padat sepanjang tahun ini sambil dibantu jurulatih penjaga gol, M Nadarajah.

Semua keputusan itu dilakukan pada mesyuarat pengurusan pasukan kebangsaan yang dipengerusikan Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. HMetro