David Moyes tertekan

London: Pengurus Manchester United, David Moyes mendakwa pasukannya bukan saja terpaksa berdepan pasukan lawan malah pengadil selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas 1-2 di tangan Sunderland pada separuh akhir pertama Piala Liga, awal pagi semalam.

Moyes yang kini tertekan selepas kalah tiga perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan menyalahkan Andre Marriner apabila pengadil itu menghadiahkan sepakan percuma yang menjadi punca gol pertama Sunderland.

Pengadil itu juga menjadi punca kepada kemenangan Sunderland apabila menghadiahkan sepakan penalti pada babak kedua selepas Adam Johnson dijatuhkan Tom Cleverley buat Fabio Borini meledak gol kedua.

“Ia sukar, tapi kami perlu terus berusaha,” kata Moyes. “Kami tidak melakukan banyak kesilapan. Saya fikir pengadil membuat keputusan salah (memberikan sepakan percuma) yang menjadi punca gol pertama. Saya tidak percaya beliau memberikan Sunderland sepakan percuma. Ia keputusan yang teruk.

“Ketika insiden itu kami semua mentertawakan keputusannya.

“Ia seolah-olah kami terpaksa menentang mereka (pegawai) serta pasukan lawan dalam masa yang sama.” United yang disingkirkan City daripada saingan Piala FA Ahad lalu dan tumpas di tangan Tottenham Hostpur dalam kempen Liga Perdana pada Tahun Baru, memulakan kempen dengan hambar di bawah kendalian Moyes.

Ketika kelab itu berada di tangga ketujuh dalam Liga Perdana dan 11 mata di belakang pendahulu Arsenal, Piala Liga kini dianggap penting buat Moyes meraih kejuaraan.

Beliau tetap yakin mengatasi keputusan itu pada pertembungan kedua 22 Januari ini bagi memenuhi ramalan awal menentang musuh tradisi Manchester City di final.

“Saya fikir pemain dan penyokong adalah yang terbaik. Pemain berhak mendapat keputusan lebih baik,” jelasnya. “Ia saingan membabitkan dua perlawanan dan saya tidak sabar untuk menantikan perlawanan kedua.” – Reuters