Chelsea terima bidaan Man United untuk Juan Mata

Manchester, England: Chelsea menerima bidaan dari Manchester United untuk membeli Juan Mata dari dengan harga £37 juta (RM203.8 juta).

Rundingan membabitkan pemain tengah Sepanyol berusia 25 tahun itu semakin rancak diperkatakan minggu ini dan terkini Mata dilaporkan akan menjalani pemeriksaan perubatan khamis ini.

Sekalipun United berhati-hati dalam urusan perpindahan itu selepas mereka gagal mendapatkan pemain ternama musim panas lalu, pengurus United, David Moyes berjaya memuktamadkan pembelian yang dikatakan sebagai tindakan terdesak United setelah mengalami begitu banyak kekalahan musim ini.

Mata berazam meninggalkan Chelsea selepas kecewa dengan kegagalannya memikat pengurus, Jose Mourinho musim ini.

Pemain tengah itu bimbang mengenai tempatnya dalam skuad Sepanyol pada Piala Dunia musim panas ini jika dia tidak beraksi secara kerap di peringkat kelab dan Moyes akan memberinya peluang ketika beliau membentuk pasukan masa depan.

United, yang ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga keempat dalam Liga Perdana, agak terdesak untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Dilaporkan Manchester United akan membawa Mata ke Old Trafford dengan menaiki helikopter.

MATA semakin kerap disisihkan Mourinho (kanan). Moyes idam bawa Mata bagi perkemaskan United.

Walaupun bayaran perpindahan itu jelas lebih tinggi daripada yang dibayar Chelsea £23.5 juta (RM129.5 juta) kepada Valencia pada 2011, Moyes tetap menaruh harapan untuk mengambil pemain ternama pada pintu perpindahan kali ini.

United difahamkan berhati-hati kerana Moyes dan ketua eksekutif, Ed Woodward gagal membeli pemain seperti Thiago Alcantara dan Cesc Fabregas pada musim panas lalu.

Pemain terbaik Chelsea bagi dua musim terakhir itu tidak beraksi dalam tiga perlawanan terakhir kelab itu. Selepas dia digantikan ketika menentang Southampton pada tahun baru, Mourinho mengakui beliau akan menimbangkan sebarang tawaran. – Agensi