BPL: United mahu tebus maruah bertemu Swansea

Manchester, England: Wayne Rooney menggesa penyokong setia Manchester United supaya meneruskan sokongan tidak berbelah bagi dalam usaha menamatkan mimpi ngeri tewas tiga kali berturut-turut apabila bertemu Swansea, awal pagi esok.

Juara Liga Perdana Inggeris itu tewas kepada Tottenham Hotspur pada tahun baru dan diikuti kekalahan kepada Swansea pada saingan Piala FA sebelum dimalukan Sunderland 1-2 pada separuh akhir pertama Piala Liga.

United ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga Arsenal menjelang perlawanan minggu ini dan harapan untuk menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik bagi meraih tiket Liga Juara-Juara musim depan, tampak semakin terancam.

Penyokong United turut menyaksikan pasukan mereka tewas empat kali pada saingan Liga Perdana di Old Trafford musim ini, keputusan yang menambahkan lagi tekanan kepada pengurus David Moyes.

Bagaimanapun Rooney yang bergelut untuk kembali pulih menjelang pertemuan dengan Swansea selepas terlepas dua perlawanan lalu, meminta penyokong United supaya terus setia kepada mereka dan Moyes.

“Sokongan daripada peminat amat penting. Mereka amat hebat terutama ketika kami tidak berada pada prestasi terbaik kini.

“Kami memerlukan sokongan mereka untuk mengharungi saat sukar ini,” kata penyerang England itu.

“Kami perlu lebih kuat dan beraksi lebih baik. Penyokong sentiasa bersabar dan memberi peluang kepada kami untuk mencuba yang terbaik. Saya yakin kami mampu melakukannya,” katanya.

Selepas menyingkirkan United pada Piala FA minggu lalu menerusi kemenangan sulung mereka di Old Trafford, pengurus Swansea, Michael Laudrup berkata, tidak mustahil mereka mampu mengulanginya.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kami bermain dengan tahap keyakinan tinggi tapi perkara yang penting adalah untuk menang dan kemenangan itu biasanya hadir menerusi keadaan tidak dijangka,” katanya.

Tonton Livestream BPL di sini