BPL: United dalam krisis, ramai bakal angkat kaki

LONDON – Penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United dalam krisis selepas mengalami kekalahan ketiga dalam tempoh seminggu kepada Sunderland kelmarin, apabila pengurus pasukan, David Moyes mahu melepaskan beberapa pemain yang tidak dikehendaki.

Malah akhbar Britain, Daily Mail melaporkan, tiga tonggak pertahanan senior, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic serta Patrice Evra mungkin mahu meninggalkan Old Trafford.

Jejak mereka dipercayai akan diikuti oleh Javier Hernandez, Nani, Anderson, Alex Buttner dan Anders Lindegaard.

Keadaan itu nyata bukan perkembangan baik buat United, apatah lagi kedudukan bintang penyerang mereka, Wayne Rooney juga masih tidak menentu selepas pemain England itu enggan menandatangani kontrak baharu, manakala Robin van Persie belum menyerlahkan potensi di bawah pengurus baharu gara-gara sering dihimpit kecederaan.

United kini mengharungi prestasi teburuk sejak 1992 dan Moyes pula mungkin dikenakan tindakan selepas Persatuan Bola sepak England (FA) mengesahkan sedang menyiasat kritikan yang dilemparkan pengurus itu terhadap pengadil perlawanan menentang Sunderland, kelmarin.

Moyes mendakwa, pasukannya menerima layanan berat sebelah selepas kekalahan 1-2 skuad The Black Cats.

“Kami gagal bertahan dengan baik ketika sepakan bebas diambil lawan, tetapi cara pengadil memberi sepakan.. itu mengejutkan saya,” kata Moyes.

Vidic menyamakan kedudukan sebaik separuh masa kedua bermula, namun selepas itu, Sunderland dihadiahkan sepakan penalti apabila Tom Cleverly menghalang pergerakan Adam Johnson dan keputusan itu juga tidak diterima oleh Moyes.

Nampaknya kami bukan sahaja berdepan pasukan lawan, tetapi juga perlu bersaing dengan pengadil,” katanya lagi.

Sementara itu penyerang United, Danny Welbeck mengakui, dia dan rakan-rakan kini diselubungi kebimbangan tidak dapat menamatkan Liga Perdana musim ini dalam kelompok empat terbaik.

United tidak pernah terkeluar daripada kelompok tiga terbaik tetapi pada musim pertama di bawah bimbingan Moyes, mereka kini menghuni tangga ketujuh dan berisiko gagal ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Saya boleh faham mengapa peminat risau. Kami tidak berada pada kedudukan Liga Juara-Juara dan kalah tiga perlawanan berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh 13 tahun.

“Kami harus akui bahawa permainan kami musim ini tidak cukup bagus,” katanya. – AGENSI