BPL: Tiada pasukan mahu jual pemain kepada United

MANCHESTER – Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville mengakui, pasukan itu memerlukan pemain baharu, namun malangnya tiada sesiapa mahu menjual pemain mereka kepada The Red Devils.

Hatrik Samuel Eto’o kelmarin menambah derita United apabila membantu Chelsea menang 3-1, sekali gus menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.

Neville menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan bekas pasukannya, sambil menegaskan United memerlukan suntikan muka baharu.

“Saya tidak fikir United perlu dibangunkan semula, tetapi saya percaya mereka memerlukan dua, tiga atau empat tambahan pemain.

“Masalahnya sekarang, semua orang tahu mereka sedang mencari pemain terbaik dan tiada siapa yang mahu menjual pemain ini kepada United,” kata Neville kepada Sky Sports.

Pengurus United, David Moyes sebelum ini diberi dana 150 juta pound (RM818 juta) untuk bertindak aktif dalam pasaran perpindahan pemain.

Bintang penyerang Uruguay, Cavani yang kini beraksi di Paris Saint Germain antara nama yang disebut-sebut berada dalam radar pengurus itu. – AGENSI