BPL: Solskjaer pengurus baru Cardiff City

LONDON – Cardiff City berjaya memastikan mereka sudah mempunyai pengurus baharu sebelum berkunjung ke Newcastle untuk perlawanan Piala FA, Sabtu ini dan Ole Gunnar Solskjaer diumumkan sebagai pengganti Malky Mackay.

Biarpun terdapat laporan bahawa Solskjaer menolak tawaran Cardiff, namun kelab Wales tersebut berjaya memujuk bekas penyerang Manchester United itu akan mengisi kekosongan Malky Mackay.

Solskjaer, 40, yang sebelum ini membimbing kelab Norway, Molde menjadi calon pilihan untuk menggantikan Mackay, yang dipecat pada Jumaat lalu selepas bersengketa dengan pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan.

Terdapat khabar sebelum ini mengatakan, Solskjaer telah menolak tawaran pertama Pengerusi Cardiff, Dalman tetapi dia tidak menolak sepenuhnya peluang untuk mengambil alih pasukan selepas Cardiff berjanji akan memberikan dana untuk berbelanja pada pasaran perpindahan, bulan ini.

Setelah memecat Mackay, pembantunya, David Kerslake dan jurulatih pasukan pertama, Joe McBridge kekal dalam barisan kejurulatihan pasukan.

 Ole Gunnar Solskjaer diberi tanggungjawab menggalas tugas pengurus baharu Cardiff, dijanjikan dana lebih 10 juta pound (RM54.26 juta) untuk dibelanjakan bulan ini. – AGENSI