BPL: Rooney ikrar setia bersama United

LONDON – Penyerang berbisa, Wayne Rooney berikrar mahu kekal bersama Manchester United.

Pada masa sama, United bersedia untuk mengadakan rundingan kali kedua dengan Rooney bagi membincangkan kontrak baharunya selepas mereka mendapatkan pemain tengah Chelsea, Juan Mata.

Mata telah bersetuju dengan terma-terma yang ditetapkan United apabila mengikat kontrak selama empat tahun setengah dan memperoleh pendapatan mingguan sebanyak £150,000 (RM825,757).

Pengurus United, David Moyes (gambar kecil) menggesa pihak pengurusan The Red Devils mengadakan rundingan dengan Rooney, seterusnya ‘mengikat’ penyerang England itu untuk tidak menyertai Chelsea pada Jun depan.

Moyes juga bercadang untuk membeli beberapa lagi pemain baharu selepas berjaya mendapatkan Mata.

Mata dikatakan sanggup menyertai United kerana risau peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol makin tipis gara-gara sekadar memanaskan bangku simpanan Chelsea musim ini.

Ejen yang juga bapa kepada pemain berusia 25 tahun itu, Juan kini berada pada fasa terakhir untuk melengkapkan perpindahan Mata ke Old Trafford.

Chelsea tidak berhajat untuk menggunakan wang sebanyak £40 juta (RM220 juta) hasil penjualan Mata bagi membeli pemain baharu.

Namun, mereka masih berminat untuk mendapatkan Rooney jika bekas pemain Everton itu enggan bersama United musim depan.

Selain Rooney, penyerang AS Monaco, Radamel Falcao dan bintang Atletico Madrid, Diego Costa berada dalam radar The Blues.

Real Madrid juga dikatakan dalam perancangan untuk membeli Rooney.