BPL: Rogers selar Sturridge pentingkan diri sendiri

LIVERPOOL – Brendan Rodgers dan Daniel Sturridge bertikam lidah seketika ketika Liverpool membelasah pasukan setempat, Everton 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield semalam.

Sturridge muncul wira The Reds dengan meledakkan dua gol pada babak pertama untuk membantu kemenangan pasukannya, tetapi dia terlepas jaringan hatrik selepas gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-54.

Tidak lama selepas itu, Sturridge dikeluarkan oleh Rodgers dan tindakan pengurus Liverpool tersebut mengundang rasa kurang senang penyerang antarabangsa England itu.

Sturridge, 24, kelihatan telah meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Rodgers ketika melangkah keluar padang dan Rodgers membalas balik.

Sturridge bagaimanapun meminta maaf dengan kelakuannya.

“Saya mahu meminta maaf atas reaksi saya.

“Saya cuma terlalu kecewa selepas gagal menyempurnakan penalti, saya mengecewakan diri sendiri dan peminat. Saya mahu meminta maaf jika menyinggung perasaan orang lain.

“Saya tidak sepatutnya menunjukkan reaksi begitu ketika keluar padang, saya cuma terlalu kecewa. Ini bukan tentang diri saya tetapi tentang mengecewakan rakan-rakan serta pasukan,” kata Sturridge.

Rodgers pula berkata, perkara itu tidak perlu dipanjangkan kerana beliau tahu Sturridge hanya meluahkan kekecewaan.

“Itu adalah sebahagian daripada cara dia meluahkan rasa kecewa. Dia sudah meminta maaf kepada seluruh pasukan.

“Saya sentiasa memberitahu pemain, mereka mesti menunjukkan rasa hormat terhadap kelab dan apabila pengurus membuat keputusan begini (membuat pertukaran), bukan disebabkan ada pemain yang beraksi buruk, tetapi kandang kala kerana soal taktikal atau pemain mengalami kecederaan.

“Setiap pemain perlu menerima apabila mereka dikeluarkan, manakala yang berada di bangku simpanan kena sentiasa bersedia untuk dibawa masuk. Kalau anda mahu penjelasan, anda boleh ketuk pintu bilik saya pada keesokan hari dan saya akan beri anda jawapan paling jujur.

“Jangan menunjukkan rasa tidak hormat kepada penyokong. Daniel kecewa kerana dia amat terdesak untuk menambah gol,” kata Rodgers. – AGENSI