BPL: Nicolas Anelka didapati bersalah, West Brom hilang tajaan

BEKAS pemain antarabangsa Perancis, Nicolas Anelka pada Selasa secara rasminya telah dicaj oleh Persatuan Bolasepak Inggeris kerana melakukan gerak isyarat yang seakan-akan salut Nazi Jerman selepas menjaringkan gol dalam perlawanan menentang West Ham United pada 28 Disember lalu.

Perbuatannya itu boleh dianggap sebagai ‘menghina atau tidak sopan’ di bawah peraturan yang ditetapkan oleh FA Inggeris.

Pihak FA dalam satu kenyataan menyebut bahawa perbuatan Anelka dalam perlawanan itu telah melanggari peraturan permainan dan boleh dikenakan tindakan disiplin.

Anelka diberi tempoh sehingga jam 6 petang Khamis untuk respon kepada dakwaan yang dibuat ke atasnya.

Tindakan pengantungan minimum untuk kesalahan seumpama itu ialah lima perlawanan tetapi pihak FA memiliki kuasa untuk menambahkan lagi jumlah pengantungan permainan.

Anelka sebelum ini mempertahankan tindakannya itu sebagai satu tindakan solidariti ke atas kawannya iaitu pelawak pentas Perancis bernama Dieudonné M’Bala M’Bala yang suka berbuat demikian di dalam kebanyakan persembahan pentasnya.

Pada masa yang sama, penaja jersi kelab yang diwakili Anelka, West Brom Albion iaitu Zoopla telah membuat keputusan muktamad tidak akan memperbaharui kontrak penajaan mereka yang berjumlah £3 juta setahun itu apabila kontrak sekarang tamat menjelang penghujung musim ini.

Zoopla yang dimiliki oleh usahawan Yahudi,Alex Chesterman memaksa WBA menamatkan kontrak Anelka atau mereka menarik balik kerjasama dengan kelab itu untuk musim akan datang.

WBA bagaimanapun tidak memberi sebarang respon kepada desakan Zoopla itu yang akhirnya membawa kepada tindakan Zoopla untuk menarik diri daripada terus menaja jersi pasukan berkenaan.

Dengan keputusan FA untuk mengenakan tindakan ke atas Anelka, satu jawatankuasa independen yang terdiri daripada tiga pesuruhjaya akan dilantik untuk mengendalikan kes ini.