BPL: Juan Mata tak sabar mahu beraksi

MANCHESTER – “Apabila saya dengar (David) Moyes mahu mendapatkan saya, saya cuma mampu berkata..wow!. Sekarang, saya mahu menjuarai Liga Perdana Inggeris bersama (Wayne Rooney) dan RVP (Robin van Persie).”

Itu kenyataan yang dikeluarkan bintang tengah Sepanyol, Juan Mata dalam temu bual pertamanya selepas sah bergelar pemain Manchester United, semalam.

Mata berikrar akan membantu pasukan baharunya menjuarai Liga Perdana, malah yakin dia mampu memenuhi harga mahal, 37 juta pound (RM204.34 juta) yang terpaksa dibayar United kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya.

Mata diperkenalkan di Manchester United buat kali pertama semalam, sehari selepas menyertai juara Liga Perdana itu hujung minggu lalu.

Malah, bintang tengah berusia 25 tahun itu sudah bersedia untuk diturunkan menentang Cardiff City dalam perlawanan liga di Old Trafford, esok selepas memberitahu Moyes bahawa dia bersedia memainkan peranan dalam mana-mana posisi di belakang penyerang.

“Saya tahu, mereka (United) membayar harga yang tinggi, tetapi saya yakin semuanya akan berbaloi.

“Saya akan memberikan yang terbaik seperti yang selalu saya lakukan. Pasukan ini dan pengurus mereka sangat bagus, penyokong United cukup menakjubkan. Kami memiliki segala-galanya untuk melakar kejayaan.

“Ketika kali pertama saya dengar United berminat untuk mendapatkan saya, saya cuma mampu berkata ‘wow’.

“Pasukan ini memiliki banyak kejayaan dalam sejarah Liga Perdana dan bola sepak Inggeris. Ia sesuatu yang hebat apabila mengetahui kelab seperti Manchester United berminat dengan anda,” ujar Mata lagi.

Menurut Mata, dia lebih banyak beraksi di sayap kiri ketika kali pertama tiba di Chelsea, namun musim lalu dia lebih banyak beraksi di posisi kanan.

“Saya tidak kisah bermain di bahagian mana, asalkan saya dapat beraksi,” katanya.

Mata turut mendedahkan, penjaga gol United, David de Gea, iaitu rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol adalah orang yang menggalakkan dia menyertai United.

“Dia menghantar mesej kepada saya sejak beberapa hari lalu dan bertanya bila saya mahu datang. Dia tanya saya, kamu mahu datang naik helikopter atau basikal?.

“Sudah tentu, pemain seperti saya akan cuba menjaringkan gol, membantu mencipta gerakan dan kreatif di bahagian tengah. Seronok dapat bergabung dengan Wayne Rooney, Robin van Persie, Adnan (Januzaj), (Antonio) Valencia, Chicharito (Javier Hernandez) serta (Danny) Welbeck. Mereka semua pemain yang bagus,” katanya.

Sementara itu Moyes berharap, pasukan bimbingannya mampu melakukan revolusi tahap pertama menjelang perlawanan menentang Cardiff selepas berjaya mendapatkan Mata.

Mata merupakan pembelian kedua terbesar Moyes, selepas membeli Marouane Fellaini dari Everton dengan nilai 27.5 juta pound (RM151 juta) tahun lepas.

Jurulatih kelahiran Scotland itu percaya, kehadiran Mata mampu membawa perubahan buat pasukannya, yang kini ditinggalkan 14 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

“Saya mahu membina sebuah pasukan yang menarik. Itulah cara yang saya mahukan dalam bola sepak dan saya tidak tahu cara lain.

“Saya mahu menang dan memberi sesuatu kepada penonton kerana saya belum cukup memberikan yang terbaik setakat ini,” kata Moyes. – AGENSI