Bekas ratu cantik Venezuela, suami ditembak mati

CARACAS 8 Jan. – Bekas ratu cantik Venezuela, Monica Spear dan bekas suaminya, Thomas Henry Berry ditembak mati, manakala anak perempuan mereka berumur lima tahun cedera dalam satu kejadian rompakan di lebuh raya antara pelabuhan Puerto Cabello ke ibu kota Valencia semalam.

Menurut laporan polis, pasangan itu dibunuh apabila mereka menguncikan diri dalam kereta berkenaan untuk mengelakkan daripada dirompak sekumpulan bersenjata itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia) apabila tayar kereta sedan yang dinaiki mereka pancit selepas melanggar objek tajam ketika dalam perjalanan pulang dari bercuti.

Menurut laporan stesen televisyen kereta mangsa mengalami kerosakan apabila keempat-empat tayarnya pancit dipercayai terlanggar paku yang sengaja ditabur di laluan berkenaan. Pengarah siasatan Jose Gregorio Sirralta berkata, mangsa cuba menyorok dalam kereta ketika dihampiri perompak terbabit, namun mereka ditembak dari luar.

Sekurang-kurangnya enam tembakan dilepaskan dengan satu terkena pada dada Berry manakala mayat Monica menunjukkan beberapa kesan tembakan.

“Ketika kejadian, kereta itu sudah berada di atas trak penunda menyebabkan polis turut menahan dua pemandu trak tunda yang berada di tempat kejadian untuk siasatan,” katanya.

Walaupun sudah berpisah dengan Berry, pasangan itu masih mempunyai hubungan baik dan bercuti bersama demi anak mereka. Monica turut banyak memuat naik beberapa gambar serta video sepanjang percutian itu. Kejadian rompakan seperti itu kerap berlaku di Venezuela sejak kebelakangan ini dengan perompak merosakkan kereta mangsa menggunakan pelbagai cara sebelum mengambil kesempatan menyamun mangsa.