Barcelona Dalam Krisis, Presiden Letak Jawatan

SANDRO Rosell telah meletak jawatan sebagai Presiden Barcelona berkuatkuasa serta-merta.

Rosell membuat pengumuman itu pada satu sidang media yang diadakan pada malam Khamis selepas mesyuarat luar biasa ahli lembaga pengarah.

Rosell menamakan Naib Presiden Josep Maria Bartomeu sebagai penggantinya sehingga 2016.

Keputusan itu dibuat selepas hakim mahkamah Sepanyol, Pablo Ruz, pada minggu ini menerima tuntutan mahkamah yang mendakwa Rosell menyalahgunakan dana daripada 49 juta pound untuk membawa masuk penyerang Neymar dari Santos pada Jun lalu. Baca sini.

Seorang ahli kelab Barcelona, Jordi Cases, mendakwa jumlah bayaran itu adalah lebih daripada bayaran 48.6 juta pound yang dilaporkan pada ketika itu.

Menjelaskan keputusan untuk meletak jawatan, Rosell berkata; ‘Saya dan keluarga telah menerima ancaman dan serangan secara senyap. Ancaman dan serangan tersebut membuatkan saya tertanya-tanya sama ada jawatan sebagai presiden telah menjejaskan keluarga saya.

“Baru-baru ini, dakwaan tidak berasas telah menyebabkan satu tuntutan mahkamah ke atas saya telah difailkan. Dari awalnya, saya katakan bahawa proses membawa masuk Neymar adalah betul dan menyebabkan beberapa musuh iri hati dengan kejayaan kami mendapatkannya.

“Ahli lembaga pengarah adalah sebuah pasukan. Mereka mengemudi sebuah projek yang membawa kelab menuju kejayaan. Saya tidak mahu serangan ini menjejaskan pihak pengurusan dan imej kelab. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya mengundur diri,” katanya.

Rosell mengumumkan peletakan jawatannya pada satu sidang media.

Rosell, 49, memegang jawatan tersebut sejak musim panas 2010 selepas mendapat undian tertinggi untuk menggantikan Joan Laporta.

Ketika eranya, Barca memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, Copa del Rey, Piala Kelab Dunia Fifa, Piala Super UEFA, Supercopa de Espana (tiga kali).

“Dalam tempoh empat tahun ini, saya amat terhibur dan menderita kerana kita adalah Barcelonistas.

“Saya amat gembira kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada Barcelonistas. Saya amat berbangga kerana menjadi salah seorang presiden Barcelona,” katanya.

Bartomeu, yang duduk bersebelahan Rosell berkata: “Hasrat pertama saya adalah untuk meneruskan projek ahli lembaga pengarah sehingga 2016. Saya amat mengharapkan sokongan daripada ahli-ahli kelab. Saya meminta mereka untuk terus yakin dengan projek ini.”

Barca yang menjulang trofi keempat La Liga musim lalu, kini menduduki tangga teratas dengan mengutip 51 mata daripada 20 perlawanan.