Bakat pelapis badminton negara kian pudar

KUALA LUMPUR – Lapan pemain muda negara gagal mara ke peringkat undian utama dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil semalam dan pastinya menambahkan keresahan buat pegawai dan peminat badminton negara.

Mana tidaknya, belum reda rasa resah yang diluahkan ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek reda, satu persatu pemain pelapis, seperti Misbun Ramdan Mohmed Misbun, Zulfadli Zulkiffli dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin ditunjuk jalan keluar di peringkat kelayakan.

Pemain lain yang turut tumbang semalam ialah Goh Sun Huat, Mohamad Arif Abdul Latif, Chan Kwong Beng, Soo Teck Zhi dan Tan Chun Seang.

Prestasi pemain-pemain muda lain seperti Nur Mohd. Azriyn Ayub, Goh Giap Chin serta Loh Wei Sheng juga tidak meyakinkan dan tahap mereka terlalu jauh ketinggalan daripada pemain utama.

Ini pasti menambah keringat Rashid mahupun barisan jurulatih negara untuk mencari formula baharu bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana kejohanan berprestij, Piala Thomas tinggal kurang lima bulan untuk berlangsung di New Delhi, India pada Mei ini.

Kelmarin, Rashid melahirkan rasa bimbangnya kepada Utusan Malaysia, apabila Chong Wei Feng mahu pun Liew Daren belum menunjukkan aksi yang meyakinkan untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan Piala Thomas, namun dalam masa yang sama angkatan pemain lebih muda juga tidak cukup bagus untuk mencabar senior mereka.

Sementara itu, bagi Zulfadli, 20, faktor kekalahan itu disebabkan kecederaan yang dialaminya sebelum ini yang belum pulih sepenuhnya dan masih dalam proses rawatan.

“Saya pernah mengalami masalah di bahagian lutut kiri di mana tisu koyak. Masalah ini terpaksa saya harungi juga walaupun saya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan beberapa pegawai kesihatan berkenaan situasi yang saya alami. Mereka mengizinkan (bermain), cuma menasihati agar lebih berhati-hati supaya kecederaan ini tidak semakin teruk,” katanya selepas tewas 21-17, 21-14 kepada pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun. – Utusan