Anak 3 Tahun Mati Didera, Bapa Dan Teman Wanita Dihadap Ke Mahkamah

JOHOR BAHRU: Seorang bapa dan teman wanitanya dihadapkan ke mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi atas pertuduhan membunuh anaknya sendiri.

Kanak-kanak, Muhammad Aqeef Adam Mohd Imran berusia 3 tahun itu dipercayai didera secara berterusan oleh pasangan tersebut sehingga disahkan mati pada 19 Disember 2013.

Tertuduh Mohd Imran Mohd Ramli berusia 31 tahun dan Norhidayah Mamid 27 tahun didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara  jam 12 tengah malam 16 Disember sehingga 6.45 petang 19 Disember.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Apartment Sri Putra, Jalan Meranti 7, Bandar Putra Kulai, Kulaijaya, Johor.

Mohd Imran yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat manakala Norhidayah yang tidak bekerja, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan bersalah direkodkan.

Majistret Salina Omar kemudiannya menetapkan 5 Februari 2014 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan ujian DNA.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Menurut laporan fakta kes, Muhammad Aqeef telah dibawa ke hospital pada hari kejadian namun telah disahkan meninggal dunia.