AFC cadang Piala Asia untuk 24 pasukan

OMAN – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) merancang untuk menambah jumlah pasukan yang akan memasuki pusingan akhir kejohanan Piala Asia daripada 16 kepada 24 pasukan bagi meningkatkan jumlah perlawanan antarabangsa dalam kalangan negara-negara anggota.

Jawatankuasa Kejohanan AFC mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat yang berlangsung di Oman kelmarin, selain turut mengumumkan pelan untuk menggabungkan pusingan kelayakan awal serantau bagi Piala Dunia dan Piala Asia.

“Kejohanan itu adalah produk utama AFC dan saya gembira ia berada di dalam tangan yang baik. Kita perlu memasarkan produk kita dan menjana pendapatan bagi memastikan kelangsungan bola sepak di rantau ini.

“Saya yakin perubahan yang akan dilakukan ini akan memberikan impak besar kepada bola sepak Asia dan memberikan kebaikan kepada ahli kesatuan,” kata Presiden AFC, Sheikh Salman Ibrahim Al-Khalifa.

Australia akan menjadi tuan rumah Piala Asia edisi ke-16 yang berlangsung selama empat tahun sekali itu dengan perubahan pertama ke atas jumlah pasukan akan dilakukan pada tahun 2019.

Sebarang cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kejohanan AFC perlu mendapatkan pengesahan daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif sebelum dilaksanakan. Terdapat 47 negara anggota di dalam AFC. – REUTERS