50 pelajar perempuan SMK Tanjung Puteri histeria

JOHOR BAHRU: Lebih 50 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, di sini, diserang histeria pada kira-kira 7 pagi tadi.

Pengurusan sekolah turut memanggil pakar perubatan Islam untuk membantu memulihkan pelajar berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian seorang guru wanita melihat satu ‘lembaga hitam’ berhampiran satu blok sekolah.

Selepas guru itu beredar dari situ, dia terkejut apabila ternampak lebih banyak lembaga hitam di kawasan kantin sekolah, namun dia berjaya mengawal diri dan tidak mengalami sebarang masalah

Tidak lama kemudian, pelajar perempuan sekolah itu mula menjerit sehingga jumlahnya melebihi 50.

Pengurusan sekolah kemudiannya membatalkan sesi persekolahan pada hari ini dan membenarkan kira-kira 1,000 pelajarnya pulang.

Ibu bapa juga dibenarkan menjemput pulang anak masing-masing. Semua mangsa berjaya dipulihkan pada 11.30 pagi tadi – HMetro