4 sekeluarga sesat di hutan ditemui

Puchong: Empat sekeluarga yang tersesat ketika memasuki Hutan Simpan Air Hitam, Puchong, di sini, untuk beriadah berjaya ditemui semula jam 5.49 petang semalam.

Mangsa yang tersesat terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ditemui anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong selepas tiga jam tersesat di dalam hutan.

Penolong Pengarah Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.34 petang dan tiba di lokasi kejadian 28 minit kemudian sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, usaha mereka berjaya selepas menemui semua mangsa di dalam hutan berkenaan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Seorang pegawai dan tujuh anggota bomba terbabit dalam pencarian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan,” katanya. – HM