Vincent Tan ‘takluk’ kelab Liga Perdana Bosnia

Sarajevo: Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan (gambar) mengikat satu perjanjian mengambil alih pengurusan dan kawalan sebuah kelab yang beraksi di Liga Perdana Bosnia, Sarajevo, kata pegawai kelab berkenaan, kelmarin.

“Kami sudah menandatangani persetujuan yang mengatakan hak pelaburan dan pengurusan yang berada dalam statut kelab dan undang-undang yang berkuat kuasa di Bosnia,” kata Ketua Pengarah Sarajevo, Dino Selimovic kepada Reuters.

Labur RM3 juta

Selimovic bagaimanapun menolak untuk menyediakan butiran penuh mengenai pelaburan itu tetapi media tempatan melaporkan hartawan Malaysia berkenaan bersedia melabur 3 juta Marka (RM6.59 juta) ke atas kelab yang ditubuhkan pada 1946 itu.

Sarajevo pernah berdepan bankrap dengan lebih jutaan marka hutang terkumpul. Tan mahukan mereka menyediakan pelan penstrukturan hutang dan pelaburan selama tiga tahun, kata naib presiden Edis Kusturica kepada akhbar Nezavisne Novine.

Di bawah persetujuan itu, Cardiff bakal bekerjasama dengan Sarajevo termasuk pertukaran pemain dan menyertai akademi bola sepak yang mana masih belum ditubuhkan bagi bakal melahirkan bakat baru.

“Kami mempunyai pelan untuk perlawanan persahabatan, pertukaran pemain, menguruskan kem latihan bersama dan kempen pemasaran,” kata Tan kepada akhbar Sarajevo, Dnevni Avaz awal September lalu.
“Saya sangat optimis dan berharap kerjasama ini menjadi sangat berguna untuk kedua-dua kelab dan bola sepak Bosnia,”. Media tempatan melaporkan Tan tidak akan mengubah lencana serta warna kelab itu seperti mana dilakukan di Cardiff yang menaikkan kemarahan penyokong. – Reuters