Vincent Tan pecat pengurus Cardiff City

CARDIFF – Pengurus kelab bola sepak Cardiff City, Malky Mackay telah dipecat pada hari ini sehari selepas kelab Wales itu tewas 0-3 kepada Southampton.

Pemergian pengurus yang berusia 42 tahun itu telah dijangka apabila pemilik kelab tersebut, Vincent Tan, menghatar e-mel berbaur desakan kepadanya sama ada mahu meletak jawatan atau dipecat.

Melalui kenyataan rasmi laman web Bluebirds itu: “Lembaga Pengarah di Kelab Bola Sepak Cardiff City telah bersetuju memecat Malky Mackay daripada jawatannya.

“Pengurus baharu yang dilantik untuk menggantikan beliau akan diumumkan dalam jangka waktu terdekat.”

Kekalahan semalam telah meletakkan kelab yang dimiliki oleh bilionair Malaysia itu hanya lebih satu mata daripada zon penyingkiran.

Untuk rekod Vincent Tan bersama pengurusannya melantik Malky Mackay sebagai pengurus pada June 2011.

Cardiff City ketika ini berada di tangga ke 16 dari 20 pasukan di Liga Perdana dengan hanya 4 kemenangan dari 18 perlawanan.