Ubah wang haram RM3.4 juta: Dua beradik didakwa

Kuala Lumpur: Dua beradik dan sebuah syarikat pelaburan emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas 116 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.4 juta.

Tertuduh, Datuk Noor Ismahanum Mohd Ismail, 31 dan Mohd Ismahanif 25, masing-masing sebagai pengarah syarikat Worldwide Far East Berhad, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Noor Ismahanum dituduh dengan 57 tuduhan pengubahan wang haram dengan cara memiliki, menerima, memindah dan memperoleh sejumlah wang hasil daripada aktiviti haram melalui cek daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad, Worldwide Far East berjumlah RM3.28 juta.

Worldwide Far East turut dituduh melakukan 57 kesalahan sama dan diwakili oleh Noor Ismahanum.

Mohd Ismahanif pula didakwa atas dua tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki kereta Honda Civic dan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM295,883.

Tak tawar jaminan

Semua kesalahan dilakukan di CIMB Bank Bhd, Nombor 28 dan 30, Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling, di antara Julai 2011 dan Disember 2012.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum denda RM5 juta atau penjara lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahmadul Kaber, tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu adalah serius dan membabitkan jumlah yang besar.

Mardziatun berkata, jika mahkamah membenarkan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan masing-masing RM2 juta dan RM100,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela, Hamidi Mohd Noh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan kedua-dua anak guamnya tidak mampu membayar wang jaminan.

Hamidi, berkata tertuduh Noor Ismahanum, adalah seorang yang dihormati dan banyak membuat kerja kebajikan serta membantu anak yatim. – BH