TS Annuar Musa lepaskan semua jawatan dalam persatuan bolasepak

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), pagi tadi.

Keputusan itu diumumkan Annuar dalam satu kenyataan media di laman Facebooknya.

Annuar turut secara sukarela menarik diri daripada menganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

“Setelah memikirkan dengan mendalam demi kemajuan bolasepak negara, saya merasakan tidak rela diri saya dijadikan alasan terutamanya oleh FAM untuk tidak berfungsi atau menjalankan tanggungjawabnya untuk memberikan kerjasama kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya juga tidak rela melihat usaha kerajaan terutamanya YB Menteri (Khairy Jamaluddin) yang sangat penting terutama untuk melaksanakan satu ‘Blueprint’ yang saya percaya akan merubah ‘DNA’ dan BRAND bolasepak Malaysia terjejas semata-mata kerana FAM tidak mahu menyertainya,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata beliau akan terus membantu bolasepak negara dan Kelantan atas kapasiti sebagai wakil rakyat dan peminat sukan.

“Semoga dengan tindakan saya ini segala kemelut dan kekeruhan yang berlaku antara FAM dan KBS khususnya YB Menteri menjadi jernih serta semua pihak akan erat berkerjasama demi kemajuan bolasepak negara,” katanya.