Tawaran kedua dari Chelsea untuk Rooney

LONDON – Chelsea bakal melancarkan satu lagi tawaran untuk mendapatkan Wayne Rooney selepas penyerang England itu masih belum ditawarkan kontrak baharu di Manchester United.

Selepas usaha pertama mereka untuk memancing Rooney pada Ogos lalu menemui kegagalan, The Blues sudah bercadang untuk mengemukakan tawaran baharu dan memantau rapat perkembangan pemain itu di Old Trafford.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho melancarkan tawaran saat akhir pada musim panas lalu untuk mendapatkan Rooney, namun tawarannya, yang tidak melebihi 24 juta pound (RM126.83 juta) ditolak oleh United.

Usaha untuk mendapatkan Rooney terhenti selepas itu.

Namun, ahli lembaga pengarah di Stamford Bridge sedia membenarkan tawaran yang lebih bagus dikemukakan selepas United dilihat masih belum mengorak sebarang langkah untuk mengikat pemain tersebut yang tamat kontrak, 18 bulan lagi.

Walaupun Rooney, 28, menunjukkan prestasi cemerlang di bawah bimbingan pengurus baharu, David Moyes, termasuk meledak 10 gol daripada 19 penampilan, namun United enggan terburu-buru menawarkan kontrak baharu kepada penyerang itu.

Itu bermakna, United bakal mengambil risiko besar jika hanya memulakan rundingan pada akhir musim, iaitu ketika kontrak Rooney hanya tinggal 12 bulan untuk ditamatkan.

Ia adalah situasi sama yang pernah berlaku ke atas Robin van Persie ketika dia berada di Arsenal, sehingga akhirnya mendorong pemain tersebut meminta untuk meninggalkan Emirates dan berpindah ke Old Trafford.

Mourinho sudah memberi bayangan untuk tidak mengekalkan penyerang sedia ada seperti Fernando Torres, Samuel Eto’o dan Demba Ba pada akhir musim, biarpun menyuarakan kekecewaan mengenai kualiti serangan yang dimiliki pasukan.

Chelsea menginginkan pemain seperti Rooney atau bintang Monaco, Radamel Falcao.

Rooney bagaimanapun difahamkan tidak mempunyai masalah langsung dengan Moyes yang merupakan bekas jurulatihnya ketika di Everton, berbanding ketika berada di bawah Alex Ferguson. – AGENSI