Sukan SEA: Singa muda ‘ajar’ Harimau Muda

NAYPYITAW:  Berlatih di Eropah tetapi gagal menumpaskan pasukan yang berlatih di negara kita sendiri! Itulah kesimpulan yang dapat dibuat kepada pasukan kendalian Ong Kim Swee ini setelah gagal mendapatkan pingat buat negara.

Skuad Harimau Muda A pulang dengan tangan kosong apabila gagal merebut pingat gangsa di temasya Sukan SEA ke-27 selepas mengalami kekalahan 1-2 kepada Singapura pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Stadium Zayar Thiri petang ini.

Corak permainan skuad negara pada babak pertama hambar yang membuka beberapa ruang kepada Singapura melakukan beberapa serangan bagi menembusi benteng pertahanan negara yang dikawal oleh Mohd Zubir Mohd Azmi dan K.Reuben.

Kecelaruan di barisan pertahanan negara membuka ruang kepada kapten pasukan Singapura Hariss Harun menjaringan gol pertama pada minit ke-14 sebelum beliau menggandakan jaringan seminit kemudian.

Peluang keemasan Malaysia menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-33 gagal dimanafaatkan oleh penyerang negara, A. Thamil Arasu apabila sepakan penalti yang dilakukanya dinafikan oleh penjaga gawang Singapura, Muhammad Izwan Mahbud.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Malaysia yang tertekan dengan kedudukan 2-0 memperkemaskan jentera serangan dengan menggandakan serangan bagi menembusi pertahanan Singapura, namun gagal menjaringan gol.

Kesilapan pada benteng pertahanan Singapura membuka peluang kepada penyerang berbisa negara, A. Thamil Arasu membuat rembatan kencang menjaringkan gol pertama negara pada minit ke-68.

Perlawanan berakhir dengan keputusan Malaysia tewas kepada Singapura 1-2 apabila pengadil perlawanan dari Myanmar, Wn Cho meniup wisel penamat.

Sementara itu jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau dan pasukan kecewa dan sedih dengan kegagalan mereka untuk membawa pulang pingat gangsa untuk negara.

“Sudah pasti kegagalan hari ini bukan hanya menghampakan harapan saya dan juga pemain tetapi turut sama rakyat Malaysia. Namun barisan pemain kita telah bermain dengan bersungguh-sungguh malam ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sidang akhbar hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan, jurulatih berasal dari Melaka itu berkata Malaysia menguasai pada awal permainan namun pemain mula hilang fokus apabila Singapura mengatasi dengan dua gol.

“Kita kembali mengusai perlawanan pada separuh masa kedua apabila Thamil Arasu berjaya menjaringkan gol pertama negara,” katanya.

“Kita belajar daripada kesilapan lepas untuk mengatasi Malaysia dengan memperkuatkan benteng pertahanan kerana sudah menjangka Malaysia akan bangkit pada separuh masa kedua dan saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukan oleh pemain Singapura,” katanya.

Highlights