Sukan SEA: Pengurus pasukan takraw serang wartawan!

Nay Pyi Taw: Skuad sepak takraw terus mencetus kontroversi apabila pengurusnya cuba menyerang wartawan Berita Harian di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam.

Penolong Pengarang Sukan Berita Harian Hussain Said cuba diserang pengurus pasukan sepak takraw negara Zamry Fareed Moh Norden ketika cuba mendapatkan komen ketua jurulatih Jamaluddin Hassan.

Insiden itu berlaku dalam bilik atlet ketika Jamaluddin dan Zamry, yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (PESTANS) makan tengah hari bersama.

Zamry cuba menumbuk Hussain kerana tidak puas hati dengan laporannya beberapa hari lalu dan menjerit dengan perkataan “fitnah“ namun dileraikan jurulatih Nordin Sabaruddin.

Beberapa minit kemudian, Zamry cuba sekali lagi menyerang di salah satu pintu masuk ke gelanggang pertandingan ketika Hussain bersama Nordin.

Berikutan insiden tersebut ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan mengambil masa yang lama untuk memberi kenyataan kepada media tetapi selepas itu dia tenang menjawab segala soalan yang diajukan wartawan. HMetro