Sukan SEA: Brunei sekat hajat besar Harimau Muda

NAYPYITAW, 10 Dis (Bernama) — Malaysia membuka kempen mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA Myanmar dengan mengalahkan Brunei 2-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri di sini, Selasa.

Skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee bermula dengan rentak agresif apabila penyerang Rozaimi Abdul Rahman melakukan percubaan pertama seawal minit keempat.

Bagaimanapun, rentak awal skuad negara itu tidak mengugat skuad Brunei yang berjaya mengikat pergerakan dan saling membalas serangan.

Malaysia terpaksa menunggu sehingga ke minit 30 untuk membuka jaringan menerusi sepakan deras Rozaimi yang berjaya menewaskan penjaga gawang Brunei, Abdul Aziz Abdul Rahim.

Tersentak dengan jaringan itu, Brunei, yang dibelasah oleh Vietnam 7-0 sebelum ini, mula memperkemaskan permainan dan mengasak kubu pertahanan negara yang dikawal rapi oleh Shahrul Mohd Saad dan Fadhli Shas.

Usaha pemain Brunei, Ali Rahman Muhammad Azwan mencari gol penyamaan pada minit ke-39 dinafikan oleh penjaga gawang negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Pada babak kedua, skuad negara mula menguasai perlawanan dengan mematahkan beberapa percubaan Brunei.

Malaysia memperkukuhkan kedudukan apabila pemain tengah Ashri Chuchu menjaringkan gol kedua pada minit ke-71, hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Malaysia akan menentang Laos pada perlawanan berikutnya, Jumaat ini.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan prestasi Brunei itu di luar jangkaan dengan beberapa kali menembusi benteng pertahanan negara.

Beliau berkata anak buahnya gagal memanfaatkan peluang dengan sepenuhnya dan akan cuba mengatasi beberapa kelemahan sebelum berdepan Laos.

“Kemenangan ini adalah satu permulaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu. –BERNAMA

Highlights