Sepak Takraw negara terus pamerkan aksi buruk di Myanmar

NAY PYI TAW – Tidak ada perkataan lain yang boleh menggambarkan prestasi skuad sepak takraw lelaki dan wanita negara semalam selain daripada perkataan mengecewakan.

Pasukan lelaki yang dibimbing jurulatih, Jamaluddin Hassan kalah dalam kedua-dua perlawanan menentang kuasa besar dalam sepak takraw, Thailand 0-3 dan tuan rumah, Myanmar 1-2 dalam acara berpasukan.

Pasukan wanita pula tewas kesemua perlawanan 0-3 kepada Myanmar dan 0-3 dengan Indonesia, kelmarin mereka tumbang kepada Thailand 0-3

Alasan utama yang diberikan skuad sepak takraw lelaki negara adalah kesilapan yang dilakukan tekong untuk memastikan servis yang berkualiti

“Apa yang saya nampak, tekong gagal memainkan peranan yang penting dalam semua perlawanan yang dihadapi. Mereka banyak membuang bola ketika melakukan servis,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Jelasnya, sekiranya tekong melakukan servis dengan tepat dia yakin corak permainan akan menjadi lebih baik dan mampu memberikan cabaran kepada pasukan lawan.

“Servis adalah masalah utama kami. Sekiranya sepakan servis yang dilakukan tidak masuk atau terkandas, ia akan memberi kesan kepada apit kanan dan kiri,” katanya.

Dalam pertemuan menentang Myanmar semalam, regu pertama yang dibarisi Muhammad Syahmi Husin, Farhan Adam dan Norshahruddin Md. Ghani tewas 18-21, 21-18 dan 9-21.

Kelakahan itu sedikit-sebanyak memberi kesan kepada regu kedua yang diketuai Mohd. Syareenqamar Salehan, Mohd. Hanafiah Dollah dan Mohamad Fazil Mohd. Asri apabila tumpas 21-15, 14-21 dan 11-21.

Bagaimanapun, regu ketika menunjukkan sedikit permainan memuaskan apabila Mohd. Muqlis Borhan, Mohd. Kamal Alfiza Shafie dan Izurin Refin berjaya memberikan saingan yang sengit untuk melakar kemenangan 21-14, 21-14.

Pada perlawanan pertama menentang Thailand pula, regu pertama negara tewas 25-23, 16-21 dan 10-21 diikuti dengan regu kedua (10-21, 11-21) serta regu ketiga (21-15, 16-21, 24-25). – UTUSAN