Saya Sudah Ada Bayangan 20 Pemain Ke Sukan SEA- Kim Swee

PETALING JAYA, 4 Dis (Bernama) — Ketua jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun), Datuk Ong Kim Swee berkata beliau sudah mempunyai bayangan senarai akhir 20 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Myanmar nanti.

“Secara logiknya, saya sudah mempunyai senarai 20 pemain akhir (ke Sukan Sea) pada awal-awal lagi tetapi pada masa yang sama, saya ingin melihat (aksi) pemain-pemain lain (terlebih dahulu).

“Saya percaya skuad kali ini lebih mementingkan bukan sahaja corak permainan tetapi juga semangat juang yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam ini.

Skuad berkenaan bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan bergaya 3-1 ke atas pasukan lawan kendalian Norihiro Satsukawa.

Gol FC Ryukyu dijaringkan oleh Takahashi Shunta pada minit ke-13 manakala skuad muda negara meledak tiga gol masing-masing menerusi A. Thamil Arasu pada minit ke-47 serta Mohd Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-50 dan masa tambahan separuh masa kedua.

Kim Swee berkata peluang pemain lain masih terbuka untuk menyertai skuad berkenaan ke Sukan SEA memandangkan beberapa pemain seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, S. Sivanesan dan Thamil disahkan mengalami kecederaan selepas perlawanan berkenaan.

“Saya bagaimanapun perlu mendapatkan laporan daripada pakar (perubatan) bagi melihat kecederaan pemain-pemain ini sebelum saya membuat keputusan menyenaraikan 20 pemain akhir (esok),” katanya.

Pada masa yang sama, Kim Swee turut menyatakan kesediaannya untuk melepaskan mana-mana pemain dari skuad Harimau Muda A seandainya kelab dari Jepun itu benar-benar berminat mendapatkan khidmat mereka namun menetapkan syarat pengambilan mestilah menerusi meja rundingan.

Menyentuh mengenai perlawanan malam ini, Kim Swee berkata beliau berpuas hati dengan peningkatan corak permainan yang ditunjukkan para pemain namun mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum mereka bertolak ke Myanmar.

Sementara itu Satsukawa berkata beliau gembira dengan persembahan anak buahnya meskipun kalah 1-3 kepada Harimau Muda A.

“Saya hanya membawa 15 pemain daripada kesemua pemain yang saya ada memandangkan ada antara mereka masih berbincang untuk menyambung kontrak dengan pengurusan kami,” katanya menerusi seorang penterjemah.

Satsukawa turut mengenal pasti tiga pemain berpotensi daripada skuad kebangsaan Bawah-23 untuk menyertai pasukan itu di masa depan iaitu Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Mohd Rozaimi dan Thamil. — BERNAMA

Highlights