Psikik ramal Jerman juara Piala Dunia 2014

SAO PAULO – Keadaan di sebuah pusat pameran di Sao Paulo, Brazil semalam menjadi kecoh apabila diva psikik terkenal, Marcia Fernandes meramalkan Jerman akan muncul juara Piala Dunia 2014.

Jika ramalan Fernandes terbukti benar, pasti jutaan rakyat Brazil akan kecewa kerana mereka meletakkan harapan tinggi selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu.

“Jerman akan tampil sebagai pemenang,” kata psikik terkenal itu ketika hadir di Pameran Mistik yang berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung di sebuah pusat pameran di Sao Paulo.

Ahli astrologi terkenal Brazil, Serena Salgado bagaimanapun cuba menenangkan keadaan dengan mengatakan, Brazil sebagai tuan rumah juga berpeluang baik untuk memenangi kejohanan, namun dia bukanlah orang yang mempunyai keistimewaan untuk meramal apa yang bakal berlaku.

Skuad Jerman

“Saya rasa, Brazil boleh menguasai Piala Dunia.. ini adalah satu kemungkinan,” katanya, sambil menjangkakan Brazil mungkin akan berdepan pasukan Itali, Jerman atau Argentina.

Brazil turun dengan misi memburu Piala Dunia keenam apabila mereka menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak 1950.

Bagi Jerman, kemenangan di Stadium Maracana, Rio mampu membantu mereka memadam memori hitam kalah kepada Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Ramalan mengenai siapa bakal menjuarai Piala Dunia 2014 merupakan acara kemuncak Pameran Mistik yang diadakan selama dua hari dan berakhir semalam. – AFP