Presiden FAM puas hati dengan Harimau Muda

Nay Pyi Taw: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah tetap gembira dengan persembahan dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee di Sukan SEA kali ini.

Walaupun gagal melakar hatrik emas, Sultan Ahmad Shah yakin barisan pemain muda negara akan terus mempamerkan peningkatan di bawah kendalian Kim Swee.

“Pada saya permainan mereka meningkat dari masa ke semasa. Perlawanan semalam (kelmarin), persembahan hebat dipamerkan mereka walaupun ketinggalan satu gol kepada Indonesia pada peringkat awal.

“Tapi itulah bola sepak, kalah dan menang bukan perkara baru kepada mana-mana pasukan sama ada profesional dan amatur. Saya gembira dah sedih kerana kalah dengan penalti yang kadang-kadang memihak kepada kita. Itu yang saya rasa sebagai presiden,” katanya.

Ditanya mengenai rasa kurang senang sesetengah pihak dengan kegagalan itu Sultan Ahmad Shah berkata : “Itu perkara biasa. Kita tidak boleh menang setiap masa. Semua mesti ingat, bola sepak adalah permainan kompetitif sama ada di peringkat Asia Tenggara atau lebih tinggi. Selagi mereka terus meningkat adalah baik.

“Saya tengok kita mampu meningkat di bawah Kim Swee. Saya sangat yakin pemain akan melakukan tugas mereka,” katanya yang tiba di Nay Pyi Taw untuk mesyuarat Majlis Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) semalam.

Beliau turut berharap skuad negara mampu menewaskan Singapura untuk pingat gangsa hari ini.

“Kita patut mampu tewaskan mereka. Saya seorang pejuang tapi seperti peperangan ada kalah dan menang. Tapi saya percaya pemain akan bekerja keras dan saya minta jangan leka kali ini, bersiap sedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Mengenai calon pengendali tetap skuad senior kebangsaan, Sultan Ahmad Shah berkata, mereka masih mencari jurulatih yang mampu memperbaiki tahap skuad kebangsaan dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.

“Kita mahukan yang terbaik. Kim Swee diamanahkan sebagai pengendali sementara, mungkin dia akan kekal sebagai jurulatih kebangsaan atau sebaliknya,” katanya.