Pengantin seminggu mati tak sempat bersanding

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang baru seminggu bernikah meninggal dunia selepas rebah di rumah keluarganya di Kampung Paya Datuk, di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Difahamkan, mangsa, Mohd Nor Jalin, 49, rebah sebaik keluar dari tandas di dalam bilik tidurnya.

Isteri arwah, Norhidayah Masri, 29, berkata ketika kejadian dia dan suaminya hendak ke dapur bagi membantu membersihkan ayam untuk hidangan sempena majlis persandingan mereka esok.

“Saya ingin masuk ke tandas sebaik suami keluar. Namun, belum sempat saya ke tandas dia rebah dalam keadaan terlentang di atas permaidani. Cemas melihat suami tidak sedarkan diri dan tubuhnya kelihatan pucat, saya keluar sambil menjerit memanggil ibu saudara Norayah Indin berusia 62 tahun,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, anggota paramedik yang tiba selepas dihubungi mengesahkan suaminya sudah meninggal dunia.