Pemilik Cardiff mahukan Solskjaer

LONDON – Pemilik Cardiff, Tan Sri Vincent Tan yakin mampu mendapatkan bekas penyerang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dan akan menyokongnya dari segi kewangan apabila tetingkap perpindahan dibuka Januari depan.

Vincent mahukan Solskjaer menjadi bos baharu Cardiff, malah beliau bersedia membelanjakan ‘apa sahaja yang diperlukan’ untuk mengekalkan mereka dalam Liga Perdana.

Vincent memecat Malky Mackay, kelmarin. Bilionair Malaysia itu pasti ’95 peratus’ bahawa beliau mampu menarik bekas penyerang Manchester United itu ke Cardiff dengan janji dana besar pada jadual perpindahan Januari depan.

Difahamkan Cardiff telah mengadakan rundingan dua kali.

Satu sumber rapat dengan Vincent berkata: “Kami amat yakin dan dia akan diberikan apa sahaja diperlukan untuk mengekalkan kelab itu dalam Liga Perdana.”

Cardiff juga dikatakan berbincang dengan bekas pengurus England, Sven Goran Eriksson tetapi dia kini terkeluar daripada senarai manakala Marcelo Biesla turut disebut.

Pemecatan itu dibuat pada Mackay kurang dari 24 jam selepas kekalahan 3-0 mereka kepada Southampton.

Ketua eksekutif, Simon Lim dihantar ke Cardiff bagi memecat Mackay selepas dua setengah tahun menerajui.

“Saya telah menikmati masa saya dengan hebat di kelab yang bagus ini.

“Asas yang diletak di Cardiff City FC akan menyediakan satu platform kukuh bagi pengganti saya,” kata Mackay. – AGENSI