Pelaburan RM10 juta lebur

Nay Pyi Taw: Tiada ungkapan yang mampu menceritakan kegagalan skuad Bawah 23 tahun negara mempertahankan “ibu segala pingat“ di Sukan SEA ke-27 di Myanmar.

Hancur hati seluruh rakyat Malaysia yang tidak kesampaian untuk melihat Datuk Ong Kim Swee bersama anak buahnya melakar hatrik di Nay Pyi Taw apabila terkandas di separuh akhir kepada Indonesia.

Pelaburan kira-kira RM10 juta selama dua tahun termasuk rangka persiapan di Eropah untuk menghadapi temasya ke-27 ini menjadi sia-sia sahaja.

Tampil di bumi Myanmar sebagai juara bertahan sememangnya tekanan tinggi buat barisan kejurulatihan dan pemain negara, apatah lagi kehilangan lapan tonggak utama yang dibayangi kecederaan.

Foto
HARIMAU Muda (jersi kuning hitam) gagal raih sebarang pingat.

Itulah realiti yang perlu dihadapi Kim Swee kerana beliau terpaksa memilih baki pemain yang tinggal untuk dibawa ke Myanmar.

“Apabila kita bercakap mengenai kualiti, kita mesti melihat pemain seperti Wan Zack Haikal (Wan Nor), Syahrul Azwari (Ibrahim), Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) dan Junior (Eldstal).

“ Saya tidak mengatakan pemain yang dibawa tidak bagus. Nazmi Faiz (Mansor) dan Rozaimi (Abd Rahman) adalah pemain berkualiti namun bukan untuk tempoh 90 minit dan konsisten,” katanya.

Pada saingan di Myanmar, pilihan Kim Swee nyata terhad terutamanya dalam merencanakan taktikal pasukan menyebabkan beliau sering-kali berdepan situasi sukar.

Mengimbau kembali dua tahun lalu ketika mempertahankan pingat emas di Indonesia, skuad negara ketika itu sebenarnya mempunyai pelbagai karektor pemain yang sudah terbukti kemampuannya.

Ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang negara tidak perlu dipertikaikan lagi di tambah dengan kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Asrarudin Putra Omar selain Mahali Jasuli.

Bukan saja kehadiran mereka memberi impak kepada pasukan, malah kualiti kepimpinan yang dimiliki menambah kekuatan pasukan, berbeza dengan pasukan di Myanmar tahun ini.

Apapun “nasi sudah menjadi bubur“ dengan skuad negara kali ini pulang dengan tangan kosong apabila turut tewas dalam penentuan tempat ketiga kepada Singapura dengan Thailand kembali bergelar juara dengan menewaskan Indonesia di final.

Hala tuju Kim Swee juga sebenarnya masih belum tentu selepas dilantik sebagai pemangku jurulatih skuad senior kebangsaan selain beliau sendiri sudah membayangkan kurang berminat untuk terus mengendalikan pasukan di Sukan SEA.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menetapkan hala tuju sebenar Harimau Muda A, B dan C secepat mungkin agar dapat melahirkan lebih ramai pemain berkualiti bagi membolehkan jurulatih mempunyai pilihan yang tidak terhad.

Apa yang menjadi kelemahan yang berlaku di Sukan SEA kali ini perlu diperbetulkan bagi memastikan bola sepak negara tidak kembali ke zaman gelap selepas kegagalan skuad senior mempertahankan Piala AFF 2012 dengan tugasan lebih mencabar dan besar menanti seperti Sukan Asia di Korea Selatan pada tahun depan. – HMetro