Nasib 7 pemain KL 7 Januari

PETALING JAYA – Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan ke 7 Januari depan untuk membuat keputusan mengenai tujuh pemain Kuala Lumpur yang dituduh terlibat mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana 2013.

Pengerusinya, Datuk Taufek Razak berkata, keputusan tidak dapat dibuat semalam bagi berlaku adil kepada semua pihak selepas jawatankuasa hanya sempat memanggil dua daripada mereka, Azizon Abdul Kadir dan Benedict Martin untuk memberikan keterangan dan membela diri.

“Ada lima lagi pemain (tidak sempat dipanggil walaupun hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam). Kami memutuskan untuk memanggil baki mereka untuk dua kali lagi mesyuarat jawatankuasa dengan menangguhkannya ke 3 dan 7 Januari.

“Pendengaran 3 Januari akan melibatkan Syazwan Mohamed Rani, Mugilan Kartik Jaya Gobi dan Muhammad Azwan Jatin manakala 7 Januari bagi Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

“Jawatankuasa tidak dapat menyudahkan prosiding sebab banyak soal jawab dikemukakan dan kes ini dianggap serius jadi kami perlu memberi satu perbicaraan yang benar-benar terbuka dan adil kepada pihak yang kena tuduh dalam mempertahankan (diri) mereka terhadap dakwaan yang dikemukakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat selama empat jam.

Ditanya kemungkinan hukuman yang menanti jika mereka didapati bersalah pada 7 Januari ini, katanya: “Hukuman maksimum digantung seumur hidup dan denda RM50,000 tetapi buat masa ini, (hukuman) pemain rendah sikit, minimumnya lima tahun berbanding pegawai, 10 tahun.

“Namun ada peruntukan hukuman dalam peraturan jawatankuasa tentang kes mengatur keputusan perlawanan atau rasuah yang membenarkan penggantungan seumur hidup dan tidak diberikan peluang merayu.”

Menurut Taufek, boleh dikatakan kesemua 22 perlawanan Liga Perdana Kuala Lumpur musim 2013 mempunyai kaitan dengan tuduhan mengatur keputusan perlawanan dan kes mereka mulai disiasat sejak kekalahan pasukan itu 5-0 kepada Sime Darby atas daya usaha pihaknya.

“Bila hujung terlerai, maka yang pangkal juga akan terlerai. (Dalam kes ini) tertuduh mewakili diri sendiri, namun dalam Perkara 16.3 Kod Tatatertib FAM 2012, mereka boleh diwakili Setiausaha Kerja, Agung atau Kehormat persatuan bola sepak negeri atau kelab tetapi peguam tidak dibenarkan langsung.

“Jika tertuduh didapati bersalah tetapi sudah menandatangani bermain dengan pasukan lain, pasukan itu masih dibenarkan menggantikannya dengan pemain lain,” ujarnya.

Minggu lalu, jawatankuasa ini mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup dan denda RM20,000 setiap seorang ke atas lima pemain (Phoo Kai Lun, Jeremy Danker, Hafizi Roslee, Khairul Anuar Shafie dan Fadhlullah Yunsifar); jurulatih pasukan dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky dan dua pegawai, Rosli Omar dan Shaari Jani. – Utusan