MRR2 jadi pusat longgok sampah

KUALA LUMPUR – Gara-gara mesin pemampat Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong di sini didakwa mengalami kerosakan, pemandu lori yang membawa muatan sampah berang dan bertindak melonggokan sampah di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Tindakan pemandu lori yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora itu dikatakan dilakukan sejak tengah malam kelmarin sehingga pukul 8 pagi semalam. Keadaan itu menyebabkan satu lorong di jalan itu dipenuhi sampah yang dianggarkan seberat 2,500 tan pada pagi semalam.

Jalan dari Batu Caves menghala ke Damansara juga mengalami kesesakan sejauh tiga kilometer manakala puluhan ribu penduduk yang tinggal di sekitar Taman Beringin pula mengadu tidak tahan dengan bau busuk.

Antara kawasan penduduk yang terjejas ialah penduduk di Flat Aman Putra, Taman Beringin, Taman Aman Putra dan Taman Nanyang.

Difahamkan lori-lori membawa sampah itu melonggokan sampah di kawasan tersebut kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan mengenai masalah di stesen itu.

Tinjauan di situ petang semalam mendapati sebahagian besar sampah sudah dibersihkan oleh DBKL dan Alam Flora yang bekerja sejak pukul 8 pagi selepas menerima aduan daripada penduduk. – Kosmo