Manchester United buru bintang Southampton

ENGLAND – Manchester United dikhabarkan akan berusaha mendapatkan pemain Southampton, Adam Lallana pada perpindahan Januari ini.

Pemain kebangsaan England itu adalah antara sasaran utama pengurus United, David Moyes untuk ditandatangani selepas mempamerkan aksi konsisten bersama kelabnya dan England.

Malah, United juga sudah bersedia untuk berbelanja besar sewaktu pintu perpindahan dibuka bulan depan bagi memastikan kelab itu mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Difahamkan, nilai perpindahan Lallana dianggarkan sekitar 15 juta pound (RM80.93 juta), nilai yang dianggap bukan menjadi masalah besar buat United untuk mendapatkan pemain berkenaan.

Sungguhpun nilai perpindahan tersebut mampu dibayar oleh United namun, bukan mudah untuk Moyes menyakinkan Lallana agar setuju berpindah.

Ini kerana Lallana, 25, sudah semakin selesa bersama Southampton, malah dia membesar bersama akademi kelab itu.

United juga perlu segera mendapatkan pemain itu jika tidak mahu nilai Lallana menjadi bertambah tinggi selepas Piala Dunia tahun depan.

Sementara itu, Lallana berkata, dia masih belum memikirkan masa depannya dan memberikan bayangan awal untuk terus kekal bersama Southampton.

“Saya telah bermain dengan kelab ini sejak dalam saingan Liga Satu dan setiap minggu saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik.

“Southampton amat istimewa buat saya dan saya tidak mampu gambarkan apa yang akan terjadi sekiranya saya keluar daripada kelab ini,” kata Lallana. – AGENSI