Malaysia Tempat Keempat Hoki Piala Dunia Remaja

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Skuad hoki remaja negara menamatkan saingan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2013 di tempat keempat apabila tewas 2-7 kepada Belanda dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India hari ini.

Prestasi skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu melepasi sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyasarkan kedudukan keenam terbaik pada kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu menyamai pencapaian Malaysia dalam kejohanan sama pada 1979, 1982 dan 1985.

Pasukan Belanda, naib juara Piala Dunia Remaja 2009, memperoleh gol mereka menerusi Roel Bovendeert seawal minit ketiga, Thierry Brinkman (minit 6, 28), Tom Hiebendaal (18, 37), Milan Van Baal (23) dan Jelle Galema (52).

Dua gol Malaysia diperoleh melalui Zulhairi Hashim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ketujuh dan minit ke-60.

Kegagalan memperbaiki pencapaian kedudukan keempat pada edisi 1979, 1982 dan 1985 mungkin boleh dimaafkan, namun prestasi yang ditunjukkan anak didik Muhammad Dharmaraj Abdullah pada perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Belanda semalam, amat menyedihkan apabila pemain seolah-olah turun ke padang sekadar melengkapkan jadual.

Apa tidaknya, babak pertama saja Malaysia ketinggalan 5-1 dengan Belanda membuka jaringan seawal minit ketiga, menerusi gol padang Roel Bovendeert.

Highlights