Malaysia ke Separuh Akhir Hoki Piala Dunia Remaja
Delhi – Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan melakar sejarah selepas mara ke peringkat separuh akhir Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2013.
Skuad bimbingan, Muhammad Dharma Raj Abdullah itu menewaskan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan peringkat suku akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India hari ini.
Kedua-dua jaringan gol Malaysia dihasilkan Shahril Saabah melalui jaringan padang pada minit ke-18 dan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-62.
Gol tunggal Korea Selatan pula dihasilkan Anda Seungju seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Malaysia dijadual bertemu Perancis yang menewaskan Belgium 5-4, pada perlawanan separuh akhir esok.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia melangkah ke saingan separuh akhir Piala Dunia Remaja ialah pada 1985 di Vancouver, Kanada. – Bernama
Highlights