Lelaki terjun bangunan selepas lempar anak

New York: Seorang lelaki dan anaknya maut apabila dia melempar kanak-kanak itu yang berusia tiga tahun dari bangunan 52 tingkat sebelum terjun dari situ berpunca daripada keputusan hakim yang memberi hak jagaan kepada isterinya.

Lelaki itu dikenali sebagai Dmitriy Kanarikov, 35, manakala isterinya, Svetlana Bukharina tidak tinggal sebumbung tetapi Kanarikov dibenar melawat anak mereka, Kirill.

Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terjun bangunan itu tengah hari kelmarin.

Dua bangunan

Pegawai keselamatan menemui Kanarikov dari Brooklyn dan Kirill di dua bangunan berasingan tetapi berdekatan menyebabkan mereka mengesyaki kanak-kanak itu dilempar dari tingkat lebih rendah.

Keadaan bayi teruk

Kanarikov diumumkan mati di tempat kejadian manakala anak lelakinya menghembuskan nafas terakhir di hospital.

Bangunan tempat dia melompat

Kanarikov sepatutnya menyerahkan Kirill kepada Svetlana di sebuah balai polis petang Ahad.

Seorang pegawai, Luis Ortiz memberitahu akhbar New York Post bahawa dia berada di hospital apabila anggota paramedik cuba memberi rawatan pernafasan.

“Semua orang boleh lihat budak itu dalam keadaan teruk. Mereka kata bapanya juga ada di bangunan itu tetapi tidak pula ada di hospital,” katanya.

Polis menyiasat kejadian mengambil gambar sebuah kenderaan Lexus RX350 dipercayai milik Kanarikov.

Dibantu rakan

Lelaki itu tidak ada akses memasuki bangunan itu tetapi dipercayai dibantu seorang rakan yang tinggal di situ.

Ini kali kedua tahun ini seorang penjaga dan anaknya terbabit terjun bangunan pangsapuri New York.

Mac lalu, seorang wanita sambil mendakap bayi lelakinya maut selepas terjun dari tingkat lapan pangsapuri Harlem tetapi kanak-kanak itu terselamat.

Pihak berkuasa menemui sekeping nota menyatakan sebab dia membunuh diri di rumahnya. – AP/AGENSI