Lefthanded lelong gitar untuk bantu mangsa banjir

MELAKA 23 Dis. – Kumpulan rock Lefthanded tidak terkecuali membantu mangsa banjir di Terengganu dan Pahang apabila menyumbang sebanyak RM15,000 hasil daripada penjualan gitar dan kemeja T mereka.

Jualan tersebut dilakukan ketika kumpulan berkenaan yang diketuai vokalis utama, Nash, Man Kidal (gitar utama), Man Dayak (drum), Fauzi NRG (bass), Rosa (keyboard) dan Elly (gitar kedua) membuat persembahan di Hard Rock Cafe Melaka di sini malam tadi.

Gitar jenis Fender itu dibeli seorang peminat dengan harga RM10,000 manakala RM5,000 lagi hasil daripada penjualan kemeja T kumpulan tersebut.

Nash berkata, kumpulan Lefthanded begitu prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir yang melanda dua buah negeri yang teruk dilanda bencana alam itu di Terengganu dan Pahang.

“Melalui konsert yang kita adakan, kami menjual gitar Fender dan mujurlah ada seorang peminat membelinya dengan harga RM10,000 dan penjualan kemeja T.

“Walaupun jumlah sumbangan yang diperoleh tidak banyak, sekurang-kurangnya kumpulan Lefthanded dapat menyumbang bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas konsert tersebut malam tadi.

Lelongan tersebut dibuat sewaktu anggota Lefthanded berehat selepas hampir sejam membuat persembahan di hadapan lebih 500 peminat. – UTUSAN