Kim Swee kecewa, Perlu lebih garang berjumpa Laos

NAY PYI TAW – Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee boleh disifatkan sebagai individu paling tidak gembira selepas melihat skuad kendaliannya sekadar menang 2-0 ke atas Brunei pada perlawanan pertama Kumpulan A Sukan SEA Myanmar.

Video highlight perlawanan di sini.

Kejayaan meraih tiga mata ini tidak wajar membuatkan anak-anak Datuk Ong Kim Swee berasa terlalu gembira kerana aksi yang dipamerkan oleh mereka terlalu jauh untuk diiktiraf sebagai calon juara Sukan SEA Myanmar ke-27.

Malah, tidak keterlaluan untuk menganggap pasukan negara sebenarnya boleh dianggap bernasib baik menang dalam perlawanan itu ekoran ketumpulan penyudah Brunei yang difahamkan dibarisi majoriti pemain di Bawah 19 tahun.

Terlalu banyak kelemahan ketara dapat dilihat terutama di bahagian tengah yang gagal mengawal permainan sehingga banyak membiarkan pasukan lawan berjaya melakukan serangan balas berulang kali ke dalam kawasan penalti pasukan negara.

Taktikal pasukan Brunei yang melakukan kepungan ke atas pemain negara semasa bertahan jelas begitu menjadi yang menyebabkan skuad Harimau Muda terkapai-kapai mengawal permainan.

Penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan menjadi pemain paling banyak mensia-siakan peluang di dalam kotak penalti apabila banyak percubaannya tersasar atau diselamatkan penjaga gol, selain Thamil Arasu dan Rozaimi.

Ketiadaan Junior Eldstal di bahagian tengah jelas memberikan banyak masalah buat Kim Swee kerana Nazmi yang banyak ditugaskan sebagai pemain tengah bertahan, jelas tidak dapat membantu.

Perkara yang paling membuatkan Kim Swee berasa geram adalah melihatkan ketumpulan penyudah anak-anak buahnya yang bagaikan gementar setiap kali berada di hadapan pintu gol.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih boleh menarik nafas lega kerana tiga mata berjaya digenggam pada perlawanan pertama sekali gus memastikan kempen negara pada acara bola sepak masih berjalan dengan lancar.

”Terus-terang saya memang tidak gembira dengan persembahan kita, walaupun berjaya mencipta banyak peluang namun gagal menyempurnakannya.

”Kegagalan kita memanfaatkan peluang secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada lawan untuk melancarkan serangan.

”Kita perlu memperbaiki kelemahan kita pada perlawanan akan datang terutama di bahagian sayap dan serangan.

”Bukan sekadar Izzaq Faris (Ramlan), tetapi beberapa pemain lain seperti Thamil Arasu, Rozaimi dan Irfan Fazail juga gagal menyudahkan peluang,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan, semalam.

Tambah Kim Swee, Brunei juga beraksi sebagai satu pasukan yang bagus, malahan beberapa serangan balas yang mereka lakukan hampir memerangkap pasukannya.

”Semasa mereka bertahan dan berpeluang melakukan serangan balas, mereka memang sebuah pasukan yang nampak berbahaya.

”Mujur kita mampu bertahan dengan baik di samping lawan gagal menyempurnakan peluang yang ada,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Soon, mengakui sedikit terkejut melihat cara permainan pasukan Malaysia.

”Setahu saya Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan pernah menyaksikan cara anda bermain.

”Cuma pada hari ini saya nampak persembahan mereka tidak begitu menjadi dan kesempatan itu diambil oleh para pemain saya,” katanya.

Jangkaan awal untuk Malaysia menang dengan jaringan besar ternyata meleset apabila hanya dua gol mampu dicipta melalui Mohd. Rozaimi Abd. Rahman, pada minit ke-30 dan Ashri Chucu pada minit ke-70.