Kim Swee Hilang Bisa Di Myanmar

NAYPYITAW, 22 Dis (Bernama) — ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’, itulah perumpamaan yang boleh digambarkan mengenai kegagalan skuad Harimau Muda A kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA edisi ke-27 di Myanmar yang menutup tirai secara rasmi hari ini.

Kegagalan pasukan bawah 23 tahun negara itu mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut selepas edisi 2009 di Laos di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebelum momentum berkenaan diteruskan pada 2011 di Indonesia, ternyata menimbulkan pelbagai reaksi berbeza di kalangan beberapa pihak termasuk penggiat bola sepak, pemerhati serta jurulatih tempatan.

Rata-rata mereka berpandangan semua pihak perlu bekerjasama bagi memperbaiki mutu pasukan berkenaan untuk menghadapi edisi Sukan SEA 2015 di Singapura selain Malaysia sendiri yang menjadi tuan rumah pada 2017.

Skuad negara gagal meneruskan kemaraan ke peringkat akhir selepas tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan pada 19 Dis lepas.

Lebih menyedihkan, mereka turut kalah 1-2 kepada negara jiran, Singapura dalam perebutan pingat gangsa yang berlangsung di Stadium Zayar Thiri, semalam.

Thailand sebaliknya muncul juara acara ‘ibu segala pingat’ tersebut selepas mengalahkan Indonesia 1-0 pada aksi final semalam.

Kegagalan Malaysia boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk kecederaan beberapa tonggak utama termasuk Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal dan sekaligus merencatkan perancangan Kim Swee yang terpaksa mengggunakan pemain yang ada dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan pingat emas bola sepak Sukan SEA.

Kim Swee yang ditemui pemberita selepas perlawanan menentang Singapura, semalam menyatakan rasa dukacita dengan kegagalan tersebut namun memuji kesungguhan yang dipamerkan oleh anak didiknya dalam memberikan tentangan sengit kepada pasukan-pasukan lain.

“Saya bukan ingin berdolak dalih mencari alasan bagi menutup hakikat kegagalan ini, namun kali ini kita tidak mempunyai pemain yang cukup kuat dan berpengalaman jika dibandingkan dengan skuad Sukan SEA 2011 dan 2009 yang rata-rata boleh disifatkan telah mempunyai tahap kematangan yang lebih tinggi,” katanya.

Pengendali kelahiran Melaka ini tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain atas kegagalan tersebut namun mengakui barisan pada kali masih muda dan belum didedahkan dengan kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Sebelum datang ke Naypyitaw kita pincang sebelah kaki apabila barisan pemain utama seperti Wan Zack Haikal, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Syahrul Azwari Ibrahim, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Amer Saidin, Fandi Othman dan Gary Steven Rebbat tidak dapat bersama untuk membantu pasukan,” katanya.

Kim Swee berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mempunyai pemain pelapis daripada skuad bawah 19 tahun ke bawah bagi memastikan pasukan berkenaan tidak menghadapi masalah untuk mencari pemain yang mampu menggantikan pemain yang berdepan masalah kecederaan pada edisi 2015 di Singapura nanti.

“Dengan cara tersebut, pasukan akan mempunyai banyak pilihan pemain dan tidak hilang punca dengan kehadiran lebih ramai pemain,” katanya.

Nada berbeza dilontarkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang nyata kecewa dengan kegagalan skuad berkenaan untuk mempertahankan pingat emas.

“Apa pun alasan yang diberikan, kita tetap juga kehilangan satu pingat emas apabila skuad bola sepak kita gagal mara ke final dan terlepas pingat gangsa semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Datuk Seri Afandi Hamzah berkata walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat pemain telah berjaya menunjukan peningkatan dari segi persembahan mereka walaupun rata-rata daripada mereka kali pertama berasksi di Sukan SEA.

“Walaupun mereka pulang dengan tangan kosong tapi mereka tidak memberi peluang mudah kepada pencabar apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga perlawanan separuh akhir,” katanya.

Harimau Muda menamatkan penantian selama 20 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara bola sepak lelaki selepas skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal menjuarai Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos.

Dua tahun kemudian, Kim Swee berjaya mempertahankan pingat emas itu selepas menewaskan Indonesia 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti tetapi gagal mengulanginya pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu. — BERNAMA