Khairy sudah jangka ‘sumbangan’ Sepak Takraw

Nay Pyi Taw: Prestasi skuad sepak takraw negara pada temasya Sukan SEA kali ini memang sudah diduga sejak awal lagi, menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.

“Saya dah agak dah. Itulah bila saya tegur jangan melenting. Lepas itu jawab dengan kasar pula. Kata saya mahu berperang dengan mereka. Saya tegur berasas dan akhirnya sekarang jelas siapa yang betul,” katanya mengulas kegagalan Malaysia dalam acara berpasukan lelaki.

Skuad negara kalah semua tiga perlawanan 0-3 kepada Thailand dan masing-masing 1-2 kepada Myanmar dan Indonesia untuk menduduki tangga tercorot daripada empat pasukan.

Seharusnya skuad kendalian Jamaluddin Hassan itu melakar sejarah pulang tanpa pingat dalam acara berpasukan pada temasya itu namun mendapat ihsan penganjur yang memberikan gangsa kepada pasukan di tangga ketiga dan keempat.

“Inilah jadinya apabila kita tiada pertandingan tempatan dan program pembangunan rapi dan terancang,” jelas Khairy.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahaya berkata prestasi skuad sepak takraw negara kali ini boleh disifatkan persembahan terburuk dalam sejak sukan sepak takraw negara.

“Saya rasa kecewa dengan persembahan pemain yang dilihat tidak bermain dengan sepenuh hati dengan negara lain yang berlawan dengan sepenuh hati demi mengharumkan nama negara masing-masing,” katanya.

Beliau menambah kekurangan dana bagi menyusun program pembangunan peringkat akar umbi turut menyumbang kepada kegagalan itu.