Kes bunuh 3 beradik: Teman lelaki mangsa ditahan

ALOR SETAR 2 Dis. – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kematian tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pelajar itu yang merupakan kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Arau, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

“Pelajar itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di sini pukul 3.45 petang Sabtu lalu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih memilukan, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang semalam dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Biarpun mereka ditemui mati lemas, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh.

Mangsa bunuh

Menurut Adzaman, pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan pelajar terbabit dengan mangsa menerusi siasatan teliti melibatkan segenap aspek.

“Setakat ini polis sudah mengambil keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam ini,” katanya.

Tambahnya, hasil bedah siasat ke atas Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula mendapati punca kematian mereka adalah lemas.

“Terdapat kesan calar pada badan mangsa, namun tiada tanda mereka dirogol, dicekik atau dipukul,” katanya.

“Manakala spesimen darah ketiga-tiga beradik itu turut dihantar untuk ujian ke Jabatan Kimia, Pulau Pinang bagi memeriksa jika ada punca lain termasuk kemungkinan suntikan dadah ke atas mangsa,” katanya.

Adzaman berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa kematian ketiga-tiga beradik itu berlaku dalam tempoh yang hampir sama.

Ditanya mengenai dakwaan keluarga mangsa mengenai kesan cedera dipercayai akibat dicucuh puntung rokok pada anggota badan dan tangan Nor Syafikah Nadia serta kesan sama pada tangan kedua-dua adik mangsa, Adzaman berkata, kesan berkenaan mungkin disebabkan gigitan hidupan dalam air seperti lintah atau ikan.

Menyentuh penemuan seluar di kawasan penemuan mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna, beliau memberitahu, ia bukan milik ketiga-tiga beradik itu kerana Nor Syafikah Nadia keluar pada malam kejadian dengan memakai jeans biru.

“Bagaimanapun kemeja-T yang ditemui berhampiran mayat Nor Syafikah Nadia adalah miliknya,” katanya.

Sementara itu, Adzaman turut meminta orang ramai menghentikan spekulasi bahawa mangsa menjadi mangsa rogol seperti yang dipaparkan dalam laman sosial.

“Maklumat yang polis salurkan kepada umum adalah hasil laporan perubatan oleh pakar forensik yang menyatakan tiada tanda mangsa dirogol,” katanya.

Kronologi Kisah Kematian 3 Beradik Di Kedah

29 November 2013: Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki motosikal kira-kira pukul 7.30 malam ke rumah rakan Noor Syafikah Nadi di Kampung Gelam yang berhampiran. Laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa susulan tiga beradik tersebut gagal pulang ke rumah.

30 November 2013: Mayat Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui oleh orang awam di kawasan bendang di Alor Senibong kira-kira 12 kilometer dari Alor Semela. Polis sahkan bahawa Noor Syafikah Nadia mati akibat dibunuh dan bukannya dirogol kerana hasil bedah siasat tidak menemui kesan rogol keatas mangsa.

1 Disember 2013: Mayat Nur Izzati Husna Rusdi, 12, dan adiknya Puteri Nurul Akma, 3 tahun, ditemui beberapa pemancing ikan di gigi air sungai di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela kira-kira pukul 4 petang.

2 Disember 2013: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Perlis ditahan untuk bantu siasatan kes kematian tiga beradik yang ditemui maut di dua lokasi berasingan. Remaja itu juga merupakan kenalan salah seorang mangsa dan kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan.