Jurubahasa temberang diburu

Johannesburg: Seorang jurubahasa palsu menimbulkan kemarahan ketika upacara peringatan pemimpin antiaparteid Nelson Mandela, malah dilihat ‘merepek’ apabila menggerakkan tangannya kononnya bagi menterjemahkan ucapan pemimpin dunia kepada bahasa isyarat.

DeafSA Afrika Selatan semalam mengecam kehadiran lelaki tidak dikenali itu ketika upacara peringatan yang turut dihadiri Presiden Jacob Zuma dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Lelaki berpakaian kemas dan mempunyai pas keselamatan rasmi melakukan beberapa isyarat tangan yang tidak bermakna ketika pemimpin dunia memberi ucapan di hadapan 95,000 penonton di stadium Soccer City.

“Dia sekadar membuat isyarat namun tidak menggunakan tatabahasa dan struktur betul, malah mencipta isyarat berkenaan sesuka hatinya.

PENTERJEMAH bahasa isyarat palsu (kanan) dilihat membuat isyarat yang dicipta sendiri ketika Obama menyampaikan ucapan.

“Dari segi ketepatan, memang kosong peratus.

“Perkara paling asas pun salah,” kata penterjemah rasmi DeafSA bahasa isyarat Afrika Selatan Delphin Hlungwane.

Malah, katanya, ‘penterjemah’ itu gagal menggunakan memek muka sesuai bagi menggambarkan reaksi negatif di stadium itu terhadap Zuma khususnya bagi penonton televisyen.

“Memek muka memainkan peranan penting walaupun isyarat diberikan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

“Dia seperti tidak pedulikannya pun,” katanya.

Polis kini memburu lelaki misteri itu.- Reuters