Josiah Ng cedera parah di Mexico

PELUMBA trek berbasikal negara, Josiah Ng Onn Lam terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan serius dalam satu pelanggaran ketika beraksi dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik di Aguascalientes, Mexico, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan tersebut, Josiah mengalami patah tulang rusuk dan tulang selangka serta paru-parunya turut terjejas.

Pelumba yang beraksi dalam tiga edisi Sukan Olimpik itu bagaimanapun kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital CMQ MAC di Aguascalientes.

Menurut isteri Josiah, Kim Ong, suaminya sudah sedar daripada koma dan sempat bercakap dengannya setelah dikeluarkan daripada unit rawatan rapi (ICU).

“Josiah telah keluar daripada ICU dan berada dalam keadaan stabil,” jelas Kim semalam.

“Dia mengalami patah beberapa tulang rusuk dan tulang selangka yang pernah dialaminya ketika di Sepanyol pada 2007.

“Saya juga telah bercakap secara ringkas dengannya dan dia masih lagi dalam keadaan pening akibat suntikan ubat bius.

“Saya amat berterima kasih kepada Gillian (Pakar terapi Institut Sukan Negara) dan jurulatih John Beasley kerana menjaga Josiah. Terima kasih juga buat rakan-rakan yang mendoakan kesihatan Josiah,” ujarnya lagi.

JOSIAH (terbaring) menerima bantuan segera selepas terlibat dalam pelanggaran ketika beraksi dalam acara keirin di Mexico semalam.

Josiah terbabit dalam pelanggaran dengan dua lagi pelumba pada saringan kedua pusingan pertama acara keirin ketika beraksi bersama-sama seorang lagi pelumba negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Azizulhasni bagaimanapun tidak tidak terbabit dalam pelanggaran tersebut dan berjaya mara ke final setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Menerusi laman sosial Facebook, Josiah sempat memberi komen: “Hello semua, saya kini berada di sebuah hospital di Mexico. Berasa agak pening sedikit, tetapi masih dalam keadaan baik.

“Hanya beberapa tulang rusuk dan tulang selangka sahaja yang patah. Syukurlah saya masih hidup,” katanya.

Kejohanan Piala Dunia Klasik di Aguascalientes merupakan pusingan kedua daripada tiga pusingan yang bermula di Manchester bulan lepas.

Kecederaan yang dialami Josiah ini bakal menyaksikan pelumba berusia 33 tahun itu terlepas pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Guadalajara, Mexico pada 17 hingga 19 Januari depan.