Jangan ambil mudah menentang Laos

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee mengingatkan pemainnya agar tidak memandang mudah perlawanan kedua peringkat Kumpulan A di temasya Sukan SEA ke-27 menentang Laos hari ini.

Kim Swee berkata pemain perlu ingat bahawa kejayaan mengalahkan Brunei 2-0 pada Selasa lalu tidak bermakna bahawa mereka kini berada dalam keadaan selesa  selepas berjaya mengutip tiga mata penuh pertama sebaliknya perlu diingatkan bahawa perjalanan ke final masih terlalu jauh lagi.

“Saya percaya semua pemain sedar bahawa perlawanan pertama menentang Brunei tempoh hari bukan perlawanan yang terbaik kerana banyak kelemahan yang dapat  dilihat pada ketika itu.

“Mereka perlu membuktikan sesuatu pada esok hari dengan cara memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Jurulatih berasal dari Melaka itu berkata Malaysia perlu peroleh kemenangan pada aksi menentang Laos, jika mahu membuka laluan mudah ke perlawanan  berikutnya.

“Kita tidak boleh ambil mudah perlawanan esok kerana Laos bukan calang-calang pasukan apabila mereka berjaya mengikat Singapura dengan keputusan seri 1-1  walaupun hanya beraksi dengan sepuluh orang pemain sahaja.

“Jadi kita perlu berhati-hati dengan pasukan ini (Laos) yang mungkin akan melakukan kejutaan yang sama bila berhadapan dengan pasukan kita esok,” katanya.
 
Beliau berkata pemain perlu kekal fokus dan perlu menguna semua peluang yang ada bagi mencipta jaringan.

” Hari ini mereka (Laos) akan turun dengan pasukan penuh jadi kita perlu berkerja keras sejak dari awal minit perlawanan bagi mencari gol pembukaan,” katanya.

Kim Swee berkata beliau tidak ingin mengambil risiko kegagalan jika bersikap terlampau memandang rendah kepada perlawanan itu.

Ditanya adakah beliau akan melakukan perubahan besar kepada kesebelasan utama yang akan diturunkan, Kim Swee berkata beliau mungkin hanya menukar satu atau dua orang pemain sahaja dan akan mengekalkan sebahagian besar daripadanya.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan cergas dan bebas dari kecederaan, saya akan mengekalkan sebahagian besar pemain,” katanya.

Turut beraksi pada perlawanan peringkat Kumpulan A hari ini ialah pasukan Brunei yang akan menentang Singapura di venue yang sama dengan sepak mula selepas perlawanan Malaysia-Laos.

Live stream di sini