Irfan terima nasib kekalahan, OKS pertahan prestasi pemain

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, yang ditemui semasa sidang akhbar berkata, dia mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan itu dan tidak mahu mana-mana pihak menyalahkan para pemainnya.

Highlight di sini.

”Tanpa tujuh pemain utama sebelum ke sini, satu situasi yang tidak mungkin dirasai oleh pasukan-pasukan lain, kami menunjukkan yang pasukan ini tidak mudah dikalahkan dan mara ke separuh akhir.

”Suasana di bilik persalinan bagaikan ada kematian kerana semua pemain saya telah memberikan segalanya dalam perlawanan ini dan tiada siapa patut dipersalahkan terutama kita kalah melalui sepakan penalti.

”Letakkan kekalahan ini sepenuhnya di atas bahu saya dan mengulas mengenai sepakan penalti, Thamil dan Shahrul memang menjadi dua pilihan pertama saya apabila Saarvindran dikeluarkan.

”Begitu juga dengan Izham Tarmizi, jika dia bukan penjaga gol yang baik hanya kerana dia gagal dalam situasi sepakan penalti, sudah tentu kami tidak akan mara ke perlawanan separuh akhir,” katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee menjelaskan, dia sudah tiada lagi pemain sayap di bahagian kiri selepas Ashri Chuchu mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan Nazirul Naim Che Hashim.

”Ketiadaan pemain sayap sebelum saya ke sini memang merencatkan banyak perancangan saya bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar.

”Ditambah dengan kecederaan yang menimpa Ashri Chuchu, saya terpaksa meletakkan Nazirul Naim mengisi posisi itu yang tidak pernah beraksi sebagai sayap kiri,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Indonesia, Rahmad Darmawan, berkata, pasukannya bernasib baik menang melalui sepakan penalti, namun menjelaskan dia memang bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan.

”Pengalaman dua tahun lalu membuatkan semua pemain telah bersedia untuk menghadapi situasi ini. Penjaga gol, Kurnia Meiga Hermansyah, membuktikan kecemerlangannya apabila menjadi penentu semasa penentuan sepakan penalti,” katanya.

Ketua pasukan Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail, tegaskan mereka semua telah sedaya upaya bangkit pada babak kedua selepas ketinggalan 0-1.

”Selepas kita mendapatkan gol penyamaan pada penghujung separuh masa kedua, namun kita gagal mendapatkan gol kemenangan.

”Apabila permainan ditentukan melalui situasi sepakan penalti, nasib jelas tidak memihak kepada kita.

”Lawan juga ada kelebihan tertentu untuk mendapatkan gol begitu juga melalui situasi bola mati tetapi kita gagal guna kelebihan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Irfan yang dilihat tampil dengan persembahan sedikit lemah mengakui dia tidak berpuas hati dengan aksinya ketika berdepan Indonesia.

”Saya kena akur bahawa tahap permainan saya tidak begitu baik dan apabila saya mendapatkan bola, pihak lawan cepat menutup ruang.

”Mereka sudah mengkaji tahap permainan saya dan rakan-rakan sepasukan yang lain serta tahu kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.

Ditanya mengapa dia tidak menjadi salah seorang pengambil sepakan penalti, dia memberitahu ia adalah arahan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

”Sebelum ini, saya ada pengalaman pahit dalam penentuan sepakan penalti, itu yang membuatkan jurulatih bertindak memberikan peluang kepada pemain-pemain lain.

”Kita sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal dalam situasi itu cuma nasib tidak bersama kita, mereka lebih berjaya.

”Sudah tentu kami semua berasa kecewa dengan keputusan ini namun kita perlu fokus untuk menghadapi satu lagi perlawanan menentang Singapura bagi penentuan pingat gangsa, kami akan cuba bawa pulang untuk skuad negara,” katanya.