Hoki: Malaysia buru kemenangan kedua

KUALA LUMPUR – Selepas mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan pertama Kumpulan D Piala Dunia Remaja 2013, kelmarin, Malaysia kini perlu meneruskan kemenangan ketika menentang Afrika Selatan, hari ini bagi membolehkan skuad remaja kebangsaan kekal di kedudukan pendahulu.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan D dengan kelebihan jaringan selepas menang 3-2 ke atas New Zealand pada aksi pembuka tirai di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India, kelmarin.

Sementara, Afrika Selatan yang turut berkongsi tiga mata dengan skuad remaja kebangsaan berada di tangga kedua selepas menundukkan England 2-1.

Sekiranya Malaysia meraih tiga mata penuh pada perlawanan, hari ini, maka peluang untuk melangkah ke saingan suku akhir cerah buat skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu dan sekali gus berupaya merealisasikan sasaran enam terbaik keseluruhan.

Malah, Muhammad Dharma turut mengakui tiga mata penuh pada perlawanan, hari ini mampu membolehkan Malaysia selesa untuk meneruskan aksi Kumpulan D.

“Saya sedar saingan menentang Afrika Selatan akan berlangsung sengit kerana masing-masing mahukan tiga mata penuh.

“Saya juga percaya kemenangan pertama kami ke atas New Zealand telah meningkatkan motivasi pemain untuk menghadapi perlawanan kedua,” katanya.

Live streaming di sini