Hoki buru slot separuh akhir Piala Dunia Remaja

KEJAYAAN skuad hoki negara mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja di New Delhi, India boleh dianggap antara pencapaian terbaik selepas menamatkan edisi 1989 di Ipoh pada kedudukan enam terbaik.

Selebihnya, mereka sekadar  tempat ke-10 di Terrassa, Sepanyol dan gagal layak pada edisi 1997 di Milton Keynes. Manakala, di Hobart pasukan Malaysia berada di tangga ke-12 dan ke-19 pada edisi di Rotterdham, Belanda empat tahun lalu.

Terbaru, semasa menjadi tuan rumah bersama Singapura, skuad negara menamatkan kempen tangga ke-12 di Johor Bahru pada 2009.

Kini, anak didik Muhammad Dharma Raj Abdullah berpeluang mengintai ke slot separuh akhir jika mampu menewaskan Korea atau India , hari ini.

“Kami gembira apabila berjaya melepasi satu halangan dan fokus pasukan adalah untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Keyakinan pemain tinggi dan kita ada material yang kukuh sebagai satu pasukan. Mungkin kita bakal berdepan tugas sukar tapi tiada yang mustahil dalam hoki,” kata pengurusnya, Mirnawan Nawawi.

Sementara itu, Dharma Raj optimis peluang melihat negara beraksi di separuh akhir mampu direalisasikan kerana ada peningkatan mutu permainan dan pemain mula percayakan diri sendiri.

Rekod terbaik Malaysia di kejohanan ini adalah muncul empat terbaik pada edisi sulung di Versailles, Perancis (1979) dan Kuala Lumpur (1982).

Live stream di sini.